KUALA TERENGGANU - Pasukan futsal Selekoh FC mempamerkan kehebatan apabila merangkul gelaran juara pada Kejohanan Futsal Piala Datuk Seri Anwar Ibrahim 2009 di gelanggang Uptown Futsal Jalan Kamaruddin, di sini Kejohanan tahunan yang diadakan itu disertai 52 pasukan dari seluruh negeri.
Pada perlawanan akhir, Selekoh FC berjaya membenam Medan Jaya FC dengan keputusan 4-2. Pengurus pasukan, Naim berkata, beliau gembira atas kemenangan itu kerana kerjasama pemain berjaya membentuk satu permainan mantap, sambil mengucapkan tahniah kepada mereka kerana bersungguh-sungguh mengharungi perlawanan itu sehingga mampu muncul juara.
“Saya menjangkakan pasukan kami tidak dapat menewaskan pihak lawan pada peringkat akhir. ”Bagaimanapun, dengan adanya semangat juang tinggi daripada setiap pemain selain mereka bijak mengatur strategi, akhirnya kami dapat menundukkan lawan,” katanya.
Menurutnya, bergelar juara pada perlawanan itu membuktikan pasukannya mempunyai pemain hebat dan diharap mampu mempamerkan persembahan lebih bermutu apabila menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi nanti. “Selain memburu kemenangan, kejohanan ini juga berjaya memupuk semangat setia kawan dan sikap kerjasama dalam kalangan peserta dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Juara kejohanan membawa pulang tunai RM700, piala pusingan berserta medal, manakala naib johan menerima RM500, dan tempat ketiga serta keempat, masing-masing membawa pulang RM150. Selekoh FC juga menerima perkhabaran gembira apabila pemain mereka, Salehuddin Ghazali dinobatkan sebagai pemain terbaik dan menerima tunai RM50 serta piala sumbangan Uptown Futsal De Zone. Hadiah disampaikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Negeri Terengganu (PKR), Abdul Rahman Yusof.
JOHAN - SELEKOH FC
0 comments:
Post a Comment