Kuala Terengganu - Pasukan Gelombang Global B dari Paka berjaya menewaskan 71 pasukan lain dari seluruh negeri sekali gus dinobatkan sebagai juara Kejohanan Futsal Terbuka Anjuran Uptown De Futsal Zone.
Pada perlawanan akhir sebagai penentu kejuaraan itu, pasukannya bertemu dengan AR-FC dari Kuala Terengganu dengan mengumpul gol 1-0 sekali gus merangkul hadiah tunai RM2,000.
Pengarah Urusan Uptown Futsal De Zone, Zainur Hisham Mohd Noor berkata, kejayaan pasukan Gelombang Global B sudah dijangka berikutan pasukan itu menurunkan tiga pemain profesionalnya. “Tiga pemain profesional itu adalah pemain negeri yang mewakili Liga Futsal Felda Persatuan Bola Sepak Malaysia 2009/10. “Tidak hairanlah pasukan tersebut menjadi juara pada kejohanan itu dan berjaya menewaskan pasukan futsal lain yang sentiasa menunjukkan permainan menarik sepanjang kejohanan,” katanya.
Menurutnya, peneraju utamanya ialah Wan Adremy Indera, Shamsul Aswadi masing-masing sebagai pemain utama manakala penjaga gol pula Mohd A Bakar.
Sementara itu, penyertaan pada kejohanan tersebut mencatatkan paling ramai pemain dari seluruh negeri dan ini menunjukkan minat mereka yang tinggi terhadap futsal.
“Kejohanan yang disertai 504 pemain itu membuka mata semua bahawa sukan futsal mendapat tempat pada hati masyarakat terutama belia,” katanya. Zainur berkata, kejohanan itu akan diadakan sekali lagi Jun ini bagi membuka peluang lebih banyak pasukan menyertainya dan bercadang menaikkan jumlah wang serta hadiah.
0 comments:
Post a Comment